LEMBAGA PADI SABAH DIWUJUDKAN SEMULA, APA PEMBAHARUAN DAN MANAFAAT KEPADA PETANI

“Saya bersetuju dengan penubuhan semula Lembaga Padi Sabah kerana ia akan menjadi komponen penting dalam pembangunan luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan pesawah padi,”

YB Junz Wong  
YB Wong Hong Jun @ Junz Wong
Menteri Pertanian dan Industi Makanan Sabah

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah sedang meneliti secara positif mengenai kemungkinan mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah (LPS) yang dibubarkan pada 1981 ( Penubuhan pada 02 Februari 1968 ) 

Satu pasukan teknikal akan ditubuhkan bagi mengkaji serta meneliti semua aspek dan pandangan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kami juga akan meneliti alasan dan punca LPS dibubarkan sebelum ini.
Mengulas lanjut Wong berkata Sabah merekodkan 70 peratus tahap sara diri beras sebelum pemansuhan LPS, namun kini nisbahnya hanya kira-kira 26 peratus.

Memandangkan isu alam sekitar dunia yang berkemungkinan memberi kesan buruk terhadap pengeluaran beras dunia, terdapat beberapa cadangan menghidupkan kembali LPS berikutan kedudukan beras sebagai komoditi keselamatan makanan, katanya.

“Bagi penubuhan semula LPS, kami perlu meneliti banyak aspek termasuk penghasilan, pemprosesan, pemasaran dan import beras.

“Memandangkan air adalah komponen terpenting dalam penghasilan beras, kami perlu memperbaharui dan menambah baik sistem pengairan jika mahu mewujudkan semula lembaga ini,” katanya.

Wong berkata teknologi baharu pengeluaran beras juga akan turut diteliti semula misalnya teknik System of Rice Intensification (SRI) yang diamalkan secara meluas di Indonesia.

Beliau berkata selain penanaman padi sedia ada di Sabah iaitu di Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Papar, Tambunan dan Keningau, kawasan lain yang turut berpotensi adalah di Sook, Trusan Sapi dan Kinabatangan.

“Salah satu cabaran jika LPS itu diwujudkan semula adalah dari segi kegunaan tanah dan saiz serta sistem tempoh yang perlu ditangani,” katanya.

— BERNAMA 

PILIHAN PEMBACA